Saturday 10 December 2011

Bantulah Anak Sindrom Down...

MEMBANTU anak Sindrom Down agar selesa dengan suasana sekeliling mampu membantu meningkatkan daya keyakinan diri mereka". Itulah nasihat yang diberikan oleh pakar fisioterapi Janice Ng. Menurut Ng, kemampuan anak Sindrom Down dari segi pembelajaran, pembesaran, pemikiran dan kebolehan bertindakbalas adalah kurang berbanding dengan anak normal dan sudah tentu pemahaman umum menjadi rendah hingga menyebabkan mereka perlu bergantung kepada orang lain dari segi mental. "Dalam aspek ini, satu pendekatan perlu diambil (bagi membantu anak sindrom ini dari tahun-tahun awal umur mereka). Ia bermula di rumah," kata Ng. 

Ajar perkara yang mudah 
"Disebabkan Sindrom Down adalah masalah genetik, maka anak itu perlu bergantung kepada ahli keluarganya dalam sebahagian besar hidupnya. "Tetapi ada beberapa aspek yang boleh diperhatikan mengenai Sindrom Down di mana anda boleh mengajar anak ini tentang perkara kecil dan mudah yang menarik perhatiannya dan ini boleh membuat kehidupan mereka tidaklah begitu rumit. Mengajar anak Sindrom Down adalah sukar tetapi ia bukan sesuatu yang mustahil. "Ada yang menyatakan mengajar anak yang mengalami masalah ini sukar tetapi kalau tahu caranya, ia akan menjadi lebih senang," kata beliau. Menurut Ng lagi, anak yang mengalami masalah genetik ini perlu dibawa ke kelas yang ada anak Sindrom Down yang lain untuk membolehkan mereka berinteraksi, seperti anak normal yang lain. "Ini membantu memberi keyakinan diri dan menjadikan mereka peka kepada suasana sekeliling," katanya.

Penampilan
Penampilan adalah satu lagi aspek yang boleh membuatkan anak Sindrom Down berasa 'gembira' atau 'sedih'. "Sememangnya lumrah psikologi manusia, bila seseorang itu fikir dirinya tidak kelihatan menarik maka beliau akan berasa tidak senang. Sebaliknya jika seseorang fikir yang dirinya 'tampan' atau 'cantik' maka sudah tentu dirinya akan mempunyai keyakinan. "Oleh itu penekanan perlu ada kepada aspek fizikal anak ini, membuatkan mereka berasa normal seperti anak lain yang normal," ujarnya. 

Suasana sekeliling 
Suri rumah, Devika, yang mempunyai anak Sindrom Down berkata, anak yang mengalami masalah genetik ini memerlukan pendekatan khas bagi membuatkan mereka mempunyai suasana pembelajaran yang positif. "Mereka boleh belajar dan menjadi produktif di sekolah jika diberi suasana sekeliling yang betul serta bahan yang diperlukan. "Anak Sindrom Down mempunyai keupayaan untuk belajar. Guru perlu ada alat bantuan mengajar yang betul bagi mencapai keputusan yang optimum," kata Devika yang mempunyai anak di kelas khas di sebuah sekolah. Kini banyak sekolah yang mempunyai kelas khas bagi anak yang mengalami ketidakupayaan pembelajaran. Begitu juga terdapat sekolah khas bagi anak kurang upaya ini. Anak Sindrom Down berupaya untuk belajar tetapi kaedah pengajaran hendaklah berbeza daripada kaedah yang digunakan di sekolah biasa. - Bernama

No comments:

Post a Comment