Saturday 10 December 2011

Vokal

Bentuk dan warna

Kata Lawan

Kata Nama Am

ABC duniaku...

Belajar Tatabahasa....Pendidikan Khas

Mengajar murid menguasai Suku Kata...

Salam sejahtera..... 

Semoga anda ceria dan sihat sentiasa, dikurniakan akal fikiran yang waras dan cerdas untuk sama-sama berbuat baik sesama insan. 

Setelah murid menguasai abjad, guru perlu mengasingkan kumpulan murid ini dalam kumpulan lain untuk mereka mempelajari kemahiran suku kata. Dalam bahagian ini, murid mesti belajar menguasai asas suku kata terlebih dahulu iaitu suku kata KV. Andaikan dalam kelas ada lima orang murid yang akan belajar kemahiran suku kata KV. 

Guru sekurang-kurangnya mesti ada bahan bantu mengajar yang berikut : 
kad imbasan suku kata pelbagai bersaiz A4 lembaran kerja suku kata bergambar kad imbasan suku kata pelbagai bersaiz 1/4 A4 kad imbasan bergambar (tanpa sebarang abjad) kad permainan – puzzle suku kata.

Sebelum mengajar : 

Pastikan murid sudah bersedia.
Rangsang minda murid dengan mengimbas kembali abjad yang telah mereka pelajari sebelum ini. 
Uji penguasaan murid terhadap kemahiran mengenal abjad. 

Semasa mengajar :

Mulakan dengan konsonan ‘b’ + vokal ‘a’ – contoh ‘ba’, ‘ca’, ‘da’, ‘fa’, ‘ga’, ‘ha’ dan seterusnya. guru tunjuk dan sebut – murid ikut. lakukan latihan ini secara berulang. Vokal ‘a’ mudah dikuasai oleh murid. Setelah mahir, tukarkan huruf vokal ‘a’ kepada vokal ‘i’, ‘o’, ‘u’ dan ‘e’. vokal ‘e’ perlu diajar pada akhir sekali kerana ‘e’ mempunyai dua sebutan yang berbeza iaitu ‘e-taling’ dan ‘e-pepet’. Edarkan gambar, kad imbasan suku kata pelbagai dan rangsang minda murid untuk menyesuaikan sebutan dengan gambar. Contohnya, gambar ‘GAJAH’ dipadankan sebutan suku kata awalnya adalah ‘ga’. 

Selepas mengajar : 

Buat latih tubi berulang kali sehingga murid mahir uji murid secara rawak edar lembaran kerja untuk uji kefahaman dan penguasaan kemahiran murid beri murid permainan puzzle cantum suku kata. 

Perlu diingat, bukan semua murid akan dapat menguasai kemahiran ini pada hari berkenaan. Jika telah mahir sekalipun, kemahiran ini perlu sentiasa diulang-ulang supaya murid tidak mudah lupa akan kemahiran yang telah dipelajari.

Bantulah Anak Sindrom Down...

MEMBANTU anak Sindrom Down agar selesa dengan suasana sekeliling mampu membantu meningkatkan daya keyakinan diri mereka". Itulah nasihat yang diberikan oleh pakar fisioterapi Janice Ng. Menurut Ng, kemampuan anak Sindrom Down dari segi pembelajaran, pembesaran, pemikiran dan kebolehan bertindakbalas adalah kurang berbanding dengan anak normal dan sudah tentu pemahaman umum menjadi rendah hingga menyebabkan mereka perlu bergantung kepada orang lain dari segi mental. "Dalam aspek ini, satu pendekatan perlu diambil (bagi membantu anak sindrom ini dari tahun-tahun awal umur mereka). Ia bermula di rumah," kata Ng. 

Ajar perkara yang mudah 
"Disebabkan Sindrom Down adalah masalah genetik, maka anak itu perlu bergantung kepada ahli keluarganya dalam sebahagian besar hidupnya. "Tetapi ada beberapa aspek yang boleh diperhatikan mengenai Sindrom Down di mana anda boleh mengajar anak ini tentang perkara kecil dan mudah yang menarik perhatiannya dan ini boleh membuat kehidupan mereka tidaklah begitu rumit. Mengajar anak Sindrom Down adalah sukar tetapi ia bukan sesuatu yang mustahil. "Ada yang menyatakan mengajar anak yang mengalami masalah ini sukar tetapi kalau tahu caranya, ia akan menjadi lebih senang," kata beliau. Menurut Ng lagi, anak yang mengalami masalah genetik ini perlu dibawa ke kelas yang ada anak Sindrom Down yang lain untuk membolehkan mereka berinteraksi, seperti anak normal yang lain. "Ini membantu memberi keyakinan diri dan menjadikan mereka peka kepada suasana sekeliling," katanya.

Penampilan
Penampilan adalah satu lagi aspek yang boleh membuatkan anak Sindrom Down berasa 'gembira' atau 'sedih'. "Sememangnya lumrah psikologi manusia, bila seseorang itu fikir dirinya tidak kelihatan menarik maka beliau akan berasa tidak senang. Sebaliknya jika seseorang fikir yang dirinya 'tampan' atau 'cantik' maka sudah tentu dirinya akan mempunyai keyakinan. "Oleh itu penekanan perlu ada kepada aspek fizikal anak ini, membuatkan mereka berasa normal seperti anak lain yang normal," ujarnya. 

Suasana sekeliling 
Suri rumah, Devika, yang mempunyai anak Sindrom Down berkata, anak yang mengalami masalah genetik ini memerlukan pendekatan khas bagi membuatkan mereka mempunyai suasana pembelajaran yang positif. "Mereka boleh belajar dan menjadi produktif di sekolah jika diberi suasana sekeliling yang betul serta bahan yang diperlukan. "Anak Sindrom Down mempunyai keupayaan untuk belajar. Guru perlu ada alat bantuan mengajar yang betul bagi mencapai keputusan yang optimum," kata Devika yang mempunyai anak di kelas khas di sebuah sekolah. Kini banyak sekolah yang mempunyai kelas khas bagi anak yang mengalami ketidakupayaan pembelajaran. Begitu juga terdapat sekolah khas bagi anak kurang upaya ini. Anak Sindrom Down berupaya untuk belajar tetapi kaedah pengajaran hendaklah berbeza daripada kaedah yang digunakan di sekolah biasa. - Bernama

Pengajaran Kanak-kanak Autisme

Mengajar kanak-kanak autisme memerlukan cara yang tertentu. Di bawah merupakan video bagaimana kita boleh mengajar kanak-kanak autisme...

Sunday 4 December 2011

Kenali Insan Istimewa....


PENDIDIKAN KHAS
Pendidikan Khas ialah program yang dirancang khusus untuk memenuhi pelbagai keperluan murid khas, termasuk penggunaan bahan khas, peralatan khas, teknik p & p mengikut tahap kebolehan & keupayaan pelajar:-
  • Perkembangan mental
  • Kestabilan emosi
  • Integrasi sosial
KANAK-KANAK KHAS
Merupakan kanak-kanak yang telah dikenal pasti dan disahkan oleh pakar professional klinikal sebagai mengalami masalah yang mengganggu proses pembelajaran.
“……… Kanak-kanak yang berbeza dari kanak-kanak sederhana atau biasa (1) dalam ciri-ciri mental (2) keupayaan-keupayaan deria (3) dalam ciri-ciri saraf dan otot atau fizikal (4) dalam tingkahlaku sosial atau emosi (5) dalam keupayaan komunikasi atau (6) dalam pelbagai kekurangan sehinggakan ia memerlukan amalan-amalan sekolah yang diubahsuai, atau perkhidmatan-perkhidmatan pendidikan khas , supaya ia boleh berkembang sehingga kemampuan yang maksimum ”.
Kirk, S.A. et.al. “Educating Exceptional Children”, 1993
Apa Dia kanak-kanak Khas ?
………… “Kanak-kanak yang dari segi intelek, fizikal, sosial dan emosi tidak mencapai pertumbuhan-pertumbuhan biasa hingga mereka tidak dapat faedah sepenuhnya dari rancangan sekolah biasa “.
Chua Tee Tee, 1981
Apa Dia Pendidikan Khas ?
……… Pengajaran yang bercorak individu direka untuk memenuhi keperluan-keperluan pendidikan yang berkaitan dengan murid-murid kurang upaya. Pendidikan Khas yang menyediakan peluang-peluang pembelajaran yang tidak disediakan dalam kurikulum yang baku atau biasa atau perkhidmatan-perkhidmatan sekolah biasa “.
PROGRAM PENDIDIKAN KHAS
Program pendidikan khas di Malaysia dilaksanakan melalui:-
  • Sekolah Khas
  • Progam pendidikan Khas Integrasi (pengasingan/inklusif)
  • Pemulihan Khas
  • Program Disleksia
  • Pendidikan Vokasional sekolah khas/integrasi(teknik/Vokasional)
KATEGORI PENDIDIKAN KHAS
Kanak-kanak yang berada dalam program Pendidikan khas adalah mereka yang menghadapi masalah untuk belajar di dalam aliran biasa. Terdapat tiga aliran :
  • Masalah Pembelajaran
  • Masalah Pendengaran
  • Masalah Penglihatan
Falsafah Pendidikan Khas
Pendidikan Khas di Malaysia adalah satu usaha yang berterusan untuk melahirkan insan yang berkemahiran, berhaluan, berupaya, beriman, berdikari, mampu merancang dan menguruskan kehidupan serta menyedari potensi diri sendiri sebagai seorang individu dan ahli masyarakat yang seimbang dan produktif selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
KEJAYAAN ORANG-ORANG ISTIMEWA
Setiap orang mempunyai impian dan cita-cita tersendiri. Jika diberi peluang pastinya mereka dapat meneroka dan memperkembangkan minat masing-masing. Dengan minat yang ada, sudah tentunya ia akan membuahkan hasil dan menampakkan kejayaan. Ini sudah pastinya meningkatkan motivasi dan kepercayaan diri dalam diri individu.
Mungkin anda sebagai ibu bapa mempunyai impian melihat anak –anak anda menjadi pilot, doktor, peguam dan menjawat jawatan yang tinggi. Persoalannya apakah jawatan tersebut sesuai dengan kemampuan anak anda yang mempunyai sifat-sifat yang terbatas? Namun begitu, anda seharusnya tidak berputus asa kerana meskipun mereka dilahirkan dengan keadaan yang tidak sempurna, mereka masih dapat mengecap nikmat kehidupan dengan gembiranya. Apa yang penting, kepuasan dalam bidang yang diceburi mengikut minat masing-masing.
Meskipun golongan istimewa mempunyai kebolehan yang terbatas, ibu bapa seharusnya memberi kepercayaan dan galakan kepada mereka dalam apa jua bidang yang mereka ceburi. Dengan pendidikan dan latihan yang sepatutnya, orang-orang istimewa mampu beroleh kejayaan. Sejarah telah membuktikan, golongan istimewa juga mampu melakukan tugas seperti orang lain malah kadangkala lebih baik lagi!